Amal soleh merupakan apa sahaja amal orang islam yang meliputi gerak hati (termasuk akal) pengucapan lisan dan perlakuan anggota tubuh badan (termasuk pancaindera) mengikut syariat islam. Amal itu dengan:
- Niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T.
- Mengikut rukun, syarat dan cara yang betul.
- Tidak dicampuri oleh perkara maksiat dan perkara-perkara yang membatalkannya atau merosakkannya
Lazimnya proses pembelajaran sesuatu ilmu secara teori dilengkapkan dengan latihan amali. Sebagai contoh, dalam matapelajaran sains rumahtangga, para pelajar akan dibimbing memilih menu yang sesuai untuk menepati ciri-ciri makanan seimbang, kemudiannya mereka akan diminta pula untuk memasaknya. Proses pembelajaran berkaitan berlangsung begitu bertujuan memastikan ilmu yang yang dipelajari mampu berfungsi dan dipraktikkan.
Begitu juga dalam kehidupan insan, iman dan taqwa yang tertanam di jiwa memerlukan kerja yang beroperasi membuktikan fungsi yang sepatutnya wujud. Pada dasarnya, amal soleh adalah buah iman dan taqwa. Amal soleh haruslah sentiasa berlaku bagi meningkatkan bekalan taqwa juga menepis desakan nafsu. Kekurangan amal soleh akan menyebabkan keimanan kita terjejas. Dengan perkataan lain, amal soleh juga merupakan manifestasi syahadah dan kesinambungan ubudiyah. Jelasnya amal soleh merupakan bidang pelaksanaan ilmu. Iman dan taqwa merupakan teori ilmu, manakala amal soleh sebagai latihan praktikal. Amal soleh juga berfungsi mengawal kesempurnaan iman dan taqwa, sekali gus akan Allah memberi ganjaran dengan kebahagiaan hakiki. Sepertimana maksud firman Allah;
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang mengerjakan amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka, sesudah mereka berada di dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku”. (QS An-Nuur:55)
Amal soleh mengeluarkan kita dari teori dan alam khayalan kepada praktik dalam kenyataan kehidupan. Di sini bermulanya peningkatan jiwa dan pembinaan peribadi yang menjurus kepada jihad dan mujahadah. Kita sedia maklum bahawa di dalam diri manusia diciptakan Allah dua potensi, taqwa dan fujur. Kedua-dua potensi tersebut saling berlawanan, mendorong kepada kebaikan dan mendorong kepada kejahatan. Apabila amal soleh dilaksanakan, dorongan kebaikan (taqwa) akan mengatasi dorongan kejahatan (fujur). Keadaan ini akan meningkatkan dan menambahkan lagi bekalan taqwa dalam kehidupan.
Amal soleh itu luas bidangnya meliputi semua pebuatan baik dalam ruang lingkup ibadah. Ianya mestilah menepati syarat;
- tidak bertentangan dengan syarak
- tujuan melakukannya untuk beroleh keredhaan Allah serta membuktikan ketaatan kepadaNya.
Amal soleh dengan sifat utamanya menambah baik akhlak dan mengekang hawa nafsu membawakan bekalan-bekalan yang sangat diperlukan oleh diri setiap mukmin. Antaranya;
- Membersihkan jiwa dari dosa dan mensucikan diri dari kemungkaran.
- Menghiasi pribadi dengan sifat-sifat mulia yang terpuji Melakukan amal soleh meletakkan kita pada kedudukan yang tinggi sekali gus menyelamatkan diri dari kehinaan.
- Sentiasa meletakkan diri dalam situasi berjaga-jaga dan mengikhlaskan setiap tindakan kerana Allah semata-mata.
- Mengawal diri untuk sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhkan diri dari berbuat kejahatan dan keingkaran.
- Mendorong diri mukmin menjadi ummat pertengahan – ummatan wasata, menjadi contoh ikutan dan rahmat kepada alam.
- Meletakkan diri mukmin dalam usaha bersungguh-sungguh menentang pihak yang berniat memusnahkan syaiar Islam dan umatnya.
- Amal soleh membersihkan sifat jahiliyah yang cuba membelenggu jiwa umat Islam dengan perlaksanaan sepenuhnya cara hidup Islam.
Seandainya kita telah mampu membentuk diri sebaik mungkin dengan amal soleh yang berterusan, akan wujud kekuatan yang mampu mengajak orang lain kepada kebaikan. Pada hakikatnya, setiap diri yang memiliki sesuatu, dia akan mampu memberi sesuatu kepada orang lain. Sedangkan diri yang kurang dari sesuatu kebaikan, tidak mungkin mampu menyumbang kepada kebaikan. Oleh itu seharusnya kita susun dan atur masa kehidupan ini dipenuhi dengan yang Islam anjurkan. Sentiasalah menyedari yang lebih mulia ialah dia yang lebih baik amalnya. Bersegeralah mencari kesempatan untuk berlaku baik supaya nanti setiap sudut bumi Allah ini diliputi kebaikan.
Mari sama-sama kita mulakan beberapa sudut praktiknya;
Kita telah dijelaskan tentang kebaikan dan ganjaran infaq dan sedekah. Kita berhajat melakukannya, tetapi timbul keraguan. perasaan sayangkan harta dan hak milik menguasai hati dan perasaan. Kita cuba sedaya-upaya melawan perasaan tersebut, kita belanjakan dan nafkahkan harta seperti yang Islam anjurkan dengan memberikan kepada yang berhak juga untuk sumbangan di jalan Allah. Ini bererti kita telah mampu mengalahkan hawa-nafsu dan melatih diri menjadi pemurah. Ini satu kebaikan sebagai bekalan yang meningkatkan taqwa.
Kita telah mendengar tentang besarnya ganjaran jihad di jalan Allah, tetapi kita ragu-ragu untuk memulakan langkah menyertainya…Kita cuba bersungguh-sungguh mengalahkan tarikan dunia yang cenderung kepada kemewahan dan hidup bersenang lenang dengan mengutamakan usaha-usaha menegakkan kebenaran deen Allah. Melawan hawa nafsu sedemikian merupakan kemenangan bagi jiwa yang diisi dengan taqwa. Ini merupakan satu bekalan besar untuk sepanjang hayat.
Kita telah didedahkan tentang kisah-kisah para sahabat Rasulullah s.a.w di sudut saling berkasih sayang di kalangan mereka. Mengutamakan saudara seIslam melebihi diri mereka sendiri. Telah disebutkan juga kelebihan dan ganjaran dari apa yang mereka berikan. Kita juga ingin mencontohi mereka, namun sikap suka mementingkan diri sendiri menguasai hati kita. Sekiranya kita gagahi diri menundukkan ego, kita akan beroleh bekalan lumayan dari keteguhan ukhwah dan mahabbah.
Kita maklumi tanggungjawab dakwah yang tunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya mesti pula kita contohi dan laksanakan. Hanya dengan menceburi dan melibatkan diri dalam peranan dan usaha amar maaruf nahi munkar, kita akan mampu merealisasikan sifat sabar dan tabah. Dengannya juga iman kita akan tertingkat dan merupakan bekalan yang sangat kita perlukan.
Untuk memampukan diri kita berterusan di landasan kebenaran kita mestilah mampu mengawal diri dan menguasai nafsu. Di samping bersungguh-sungguh sentiasa melakukan amal soleh. Inilah bekalan yang mengangkat darjat mukmin kepada kemuliaan yang Allah anugerahkan.
“Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu, dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu (yang akan kulaksanakan) dengan segala kemampuanku; dan aku berlindung padaMu dari kejahatan apa-apa yang aku lakukan, aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku, dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau”.
Sumber Rujukan : Abu musaddad, 2008, Amal Soleh, [online] Available at : http://www.haluan.org.my/v3/index.php/amal-soleh-praktikal-iman.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Amal_soleh
http://ms.wikipedia.org/wiki/Amal_soleh
Tahniah.cukup bernas.
ReplyDeleteTerima Kasih. Jika ada pendapat bolehlah di kongsi bersama ya.
ReplyDeleteSemoga kita memperbanyakkan lagi amalan kita supaya menjadi manusia yang soleh dan solehah. aminn
ReplyDeleteAmal soleh ialah segala amalan yang diredhai Allah yang memenuhi dua syarat:
ReplyDeletea. Amalan itu hendaknya sesuai dengan ajaran Islam
b. Amalan itu bertujuan untuk mencapai keredhaan dan ketaatan kepada Allah
Cantiknya iman dan amal soleh:
ReplyDeletePernah diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw ada bersabda yang bermaksud:
Ada dua macam yang tidak ada sesuatu yang lebih baik dari keduanya:
• Beriman kepada Allah.
• Memberi manfaat kepada muslimin.
Dan ada dua macam yang tidak ada sesuatu yang lebih buruk dari keduanya :
• Mensyirikkan Allah.
• Menyakiti kaum muslimin.
Sumber : http://virtualfriends.net/article/printablepage.cfm?AID=17122