Thursday, 22 December 2011

Aktiviti Perbincangan 3

Berikan ayat-ayat Al-Quran atau hadis-hadis yang berkaitan dengan amal soleh.


Aktiviti Perbincangan 2

Apa yang kita faham dengan ‘amalan soleh’ ? Adakah sekadar melakukan ibadat atau sekadar membuat kebajikan? Cukupkah kita dikatakan telah melakukan amal soleh sekadar kita telah menyempurnakan solat, zakat, baca Al-Quran , bersedekah dan pergi haji?



Tuesday, 20 December 2011

Bahan Bacaan

Sila lawati link berikut :


·         Al Hadith 
·         Adakah Amal Kita Diterima?






      Aktiviti Perbincangan 1

      Apakah perkara yang boleh menyempurnakan amal soleh seseorang?

      Soalan Objektif

      1. Diantara berikut yang manakah contoh amal soleh?
      a. membaca Al-Quran
      b. mencuri
      c. mengumpat
      d. membunuh

      2. Salah satu jihad yang telah disuruh rasullullah
      a. mementingkan diri sendiri
      b. mnegorbankan harta benda
      c. membenci orang
      d. memecahbelahkan orang

      3. Ibadah haji bukan sahaja bukan sahaja memohon ampun kepada Allah tetapi juga ........
      a. Perjanjian sesama manusia
      b. perjanjian dengan Allah dan penyatuan umat islam
      c. perjanjian dengan jin
      d. perjanjian dengan malaikat.

      4.Membentuk amal soleh bukan tertumpu pada ibadah tetapi juga kepada...
      a.masyarakat dan maksiat
      b.dosa kecil dan dosa besar
      c.maksiat dan akhlak
      d.syariat /muamalat/akhlak

      5.Seorang pemimpin mestilah..
      a.bersubahat dengan orang beriman
      b.memakan harta rakyat
      c.adil dan bertanggungjawab
      d.adil dan mementingkan diri sendiri

      6.Niat yang ikhlas termasuk dalam satu amal soleh tetapi tidak diiringi sifat
      a.riya',hujub dan sumiah
      b.ujub dan sedekah
      c.riya' dan kasihan
      d.sumiah dan tolong menolong

      7.Seorang yang telah meninggal dunia akan mendapat ..
      a.ilmu yang diajarkan
      b.anak yang soleh
      c.masjid dibangunkan
      d.harta yang tidak diurus dengan betul

      8.Pengertian amal soleh ialah..
      a.amalan orang islam seperti gerak hati,akal,perlakuan tubuh badan mengikut syariat islam
      b.amalan orang islam seperti sedekah,mencaci dan ujub
      c.amalan orang islam seperti rendah diri dan mementingkan diri sendiri
      d.amalan orang islam seperti ibadah dan melakukan dosa besar

      9.Sebagai orang islam cara menghormati rumah ibadah seperti di masjid dengan.....
      a.zikir dan bising
      b.berbincang hal politik
      c.solat dan tidur
      d.solat,menghormati jemaah dan menjaga kebersihan.

      10.Amalan soleh penting dalam kehidupan agar
      a.selamat dunia dan akhirat
      b.selamat di dunia sahaja
      c.selamat di akhirat
      d.selamat sekejap sahaja


      Wednesday, 7 December 2011

      Bentuk Amal Soleh

      Bentuk-bentuk amal soleh yang difahami oleh orang Islam adalah yang biasa dan mudah sahaja seperti zikir, solat, puasa dan tilwah al-Quran. Semua ini memang baik tetapi amal soleh ini pada hakikatnya sekadar memberi manfaat untuk dirinya dan terus memperolehi kenikmatan taat dan kemanisan zikir serta kerehatan fikiran dan ketenangan jiwa.

      Di sana ada amal soleh yang lain disunatkan oleh Islam yang dijamin oleh rasul saw bahawa diri muslim itu memperolehi banyak manfaat dan dapat melaksanakan amal soleh bersama masyarakat di sekelilingnya di mana masyarakat terkesan dengan amal soleh dan keadaannya dan amal soleh itu juga memberi kesan melalui aktiviti dan usaha murni yang dijalankan.

      Kita teliti bersama ungkapan nabi saw ketika pertama kali memasuki kota Madinah. Nabi saw telah memerintahkan tiga perkara: “Berilah salam, berilah makan dan solatlah di malam hari ketika orang lain tidur”. Salah satu darinya berkaitan dengan bekalan bagi seorang mukmin iaitu solat di tengah malam yang jauh dari pandangan orang untuk menguatkan hubungan dengan Tuhannya dan bekalan tersebut menolongnya menghadapi kesukaran di waktu siang hari.

      Firman Allah:

      “Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan”. (al-Muzzammil: 6)

      Sedangkan dua perkara lagi yang disebut dalam hadith tersebut adalah berkaitan dengan keutuhan sebuah masyarakat baru iaitu memberi salam dan memberi makan untuk menanam benih kasih sayang dan mencabut sifat iri hati dan hasad dengki serta mewujudkan semangat tolong-menolong dan bantu-membantu antara sesama kelompok di dalam masyrakat baru.

      Tambahan pengetahuan tentang maksud amal soleh seperti yang telah ditentukan oleh rasul saw berkaitan jihad pada kedudukan tertinggi daripada sepuluh iaitu mengorbankan harta benda, nyawa dan gugur sebagai syahid. Marilah kita lihat sebuah hadith sahih lain yang disepakati oleh Bukhari dan Muslim r.a daripada Abu Hurairah r.a berkata: Nabi saw bersabda:

      “Setiap amalan kebaikan manusia itu dikira sedekah, setiap hari apabila terbitnya matahari dan apabila berlaku adil antara dua orang dikira sedekah. Membantu mengangkat muatan ke atas kenderaan atau menurunkannya dikira sedekah, mengucap perkataan yang baik juga sedekah, dan setiap langkah perjalanan ke tempat solat juga sedekah, atau membuang gangguan di jalan juga sedekah”.
      Saya telah mengira di dalam Kitab Riyadus Salihin bab banyak jalan ke arah kebaikan ada lebih daripada dua puluh wasiat nabi saw yang menjelaskan pelbagai jenis jalan mencapai keredhaan Allah sekaligus menunjukkan kesilapan muslim yang hanya menggambarkan amal soleh di dalam ibadah semata-mata.

      Kalau kita perhatikan hari ini keadaan kita secara umum perlukan usaha menjelaskan kefahaman amal soleh dan memimpin manusia kepada erti amal soleh yang sebenarnya. Langkah permulaan ialah memperbaiki diri dan menyucikan jiwa dengan mendekatkan diri dengan Allah, memahami Islam dengan kefahaman yang betul, sejahtera dan menyeluruh (syumul) serta membantu dengan perlaksanaan ibadah-badah yang wajib ke atas setiap individu dengan memerhatikan hukum hakanya dan hikmah Allah mewajibkan ibadah tertentu kepada kita. Sebagai contoh ibadah haji, bukan sekadar memohon keampunan daripada dosa bahkan memperbaharui perjanjian dengan Allah, menyatakan kesatuan umat Islam, mengingatkan tentang pengorbanan keluarga nabi Ibrahim a.s, persiapan menemui Allah dan mengingati mati dan kain kafan..

      Apabila kita mengadap Allah semasa berdoa di hari Arafah kita bukan sekadar berdoa untuk diri, isteri dan anak-anak, bahkan menyebut semua penyakit dan wabak, menyebut orang-orang yang lemah dan tertindas, menyebut saudara seislam yang dikurung di Mesir, Palestin, Iraq, Guantanamo.

      Apabila kita diperintahkan menyembelih korban supaya kita boleh memakan dagingnya dan memberi makan orang-orang miskin, kita turut disuruh mengingati orang-orang yang terkepung di Gaza dan orang-orang Palestine yang tinggal di khemah pelarian sejak beberapa dekad yang lalu, pelarian rakyat Iraq di sempadan, orang-orang yang ditimpa kebuluran di Syiria dan negeri-negeri yang lain, orang-orang miskin di Bangladesh yang sering dilanda banjir. Kenapakah kita tidak mempedulikan nasib khususnya daripada Negara-negara kaya? Kami di Mesir mendapati ada orang yang hanya dapat merasai daging pada hari raya korban atau hari Arafah. Mereka ini termasuk ke dalam kategori orang-orang miskin di Mesir. Oleh itu saya mengenali beberapa individu yang membahagikan sedekah dan zakat harta mereka pada bulan-bulan biasa dan tidak hanya dalam Ramadan sahaja.

      Kefahaman yang menyeluruh tentang Islam sebagai agama dan dunia, akidah dan ibadah, syariat dan muamalat, akhlak dan perangai tidak terbatas hanya menekankan isu politik tetapi meliputi seluruh sendi-sendi kebaikan dan pintu-pintu kebajikan hinggalah kepada hak-hak asasi manusia dan hak haiwan.

      Umat Islam hari ini perlu keluar daripada ruang lingkup hanya mementingkan rupa dan zahir kepada mementingkan kandungan dan intipati. Ini kerana Allah tidak memandang kepada gambaran luar akan tetapi kepada hati dan amalan. Sikap mementingkan kulit luaran menandakan kecetakan agama atau tertipu dengan tuntutan sebenar seperti yang yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali khususnya apabila meninggalkan perkara asas, prinsip dan kaedah.

      Sesungguhnya berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim seperti wakil rakyat yang menyuarakan hak rakyat di dewan parlimen juga termasuk amal soleh. Memberikan maklumat yang tepat oleh wartawan yang bebas kerana mahu menerangi jalan kepada umat manusia juga termasuk amal soleh. Mengelokkan hasil kerja seorang pegawai, guru di sekolah, doctor di hospital, jurutera di tapak pembinaan, pekerja di jabatannya juga termasuk amal soleh.

      Seorang penyelidik atau saintis yang bertungkus lumus di makmalnya untuk mencipta atau mencari penyelesaian kepada masalah penyakit yang melanda masyarakat dan berjaga malam kerana ini juga termasuk amal soleh. Menolong orang yang memerlukan pertolongan dan memberi jalan rezeki kepada orang miskin supaya meringankan beban hidup mereka juga termasuk amal soleh.

      Begitu juga berbakti kepada ibubapa dan menghubungkan silaturrahim, menziarahi jiran, menghadiri solat jamaah, membaca al-Quran, berzikir dan qiamullail juga termasuk amal soleh.

      Syarat sesuatu perbuatan dikira sebagai amal soleh iaitu niat yang ikhlas kerana Allah. Oleh itu sesuatu amal itu tidak boleh bercampur dengan perasaan riya’, ujub dan sum’ah. Amalan itu juga mesti bertepatan dengan syariat Allah dan petunjuk Rasulullah saw.

      Berapa ramai yang berpuasa yang tidak memperolehi pahala puasanya melainkan lapar dan dahaga. Berapa ramai yang bangun malam tidak memperolehi apa-apa melainkan berjaga malam. Begitu juga ahli parlimen, wartawan atau ahli politik tidak memperolehi apa-apa dari aktiviti mereka melainkan tekanan, kurungan dan buruan.

      Justeru betulkanlah niat, hanya mengharapkan keredhaan Allah dan sentiasa beriltizam dengan petunjuk nabi saw.

      Sumber : Dr. Isam al-Iryan, Amal Soleh, [online] Available at : http://slaveoftheforgiver.blogspot.com/2011/02/amal-soleh.html

      Tujuh Amal Soleh Yang Menyusul Seorang Mukmin Semasa di Alam Barzakh

      Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “ Sesungguhnya amal soleh yang akan menyusul seorang mukmin setelah dia meninggal dunia kelak ialah ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan, anak soleh yang ia tinggalkan, mushaf al-Quran yang dia wariskan, masjid yang dia bangunkan, rumah tempat singgah musafir yang dia dirikan, sungai (saliran) yang dia alirkan, dan sedekah yang dia keluarkan di kala sihat dan masih hidup. Semuanya ini akan menyusul ketika dia meninggal dunia kelak.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)


      Berdasarkan hadis di atas terdapat tujuh (7) perkara amalan yang dilakukan oleh seorang mukmin akan mendapat pahala yang berterusan mengalir kepadanya walaupun dia telah meninggal dunia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :


      1. Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.


      2. Anak soleh yang ia tinggalkan.


      3. Mashaf al-Quran yang dia wariskan.


      4. Masjid yang dia bangunkan.


      5. Rumah tempat singah musafir yang dia dirikan


      6. Sungai (saliran) yang dia alirkan.


      7. Sedekah yang dia keluarkan  di kala sihat dan masih hidup.


      Huraiannya :


      1. Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.


      Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, mengamalkan ilmu yang disampaikan, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan ulama, memuliakan kekasih-kekasih Allah SWT dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.


      Apabila kita sampaikan sesuatu ilmu kepada orang lain dan ilmu tersebut diamalkan dan disampaikan semula secara berterusan hingga ke hari kiamat, maka kita tetap akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan. Begitu juga sebaliknya ilmu yang memudaratkan orang lain atau ilmu bermaksiat kepada Allah SWT, pengamal dan penyampainya akan mendapat dosa disisi Allah dan dosa yang berterusan sehingga hari kiamat jika di amalkan dan diikuti oleh seseorang. Oleh itu jauhilah diri kita daripada perbuatan dan amalan yang boleh menyesatkan diri kita sendiri dan menyesatkan orang lain.


      Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Tiadalah suatu sedekah yang lebih besar yang disedekahkan manusia seperti penyebaran ilmu.” (Hadis Riwayat Tabarani)


      Dalam hadis Nabi SAW maksudnya : “Dari ‘Imran bin Hashin r.a bahwa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Akan ditimbang di hari kiamat  nanti tinta  para ulama akan ditimbang dengan darah syuhada, maka bobot tinta ulama lebih unggul mengalahkan  darah syuhada”(Hadis Riwayat Al-Marhabi- Ad-Durrul Mantsur 6h332)


      Nabi SAW bersabda yang bermaksud, " Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat".


      Setiap kalimah, pengajaran, ilmu, tazkirah, risalah, nasihat yang kita ambil daripada ayat-ayat al-Quran, hadis Nabi SAW dan kata-kata sahabat Nabi SAW,  ulama yang muktabar dan wali Allah adalah merupakan ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan dapat menambahkan pahala dan amal soleh ketika kita hidup di dunia ini.


      2. Anak soleh yang ia tinggalkan.


      Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila mati seseorang manusia maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga punca : sedekah yang berkekalan , atau Ilmu yang dimanfaatkan oleh orang , anak yang soleh yang mendoakannya. " (Hadis Riwayat Muslim).


      Anak yang soleh adalah seorang anak yang sentiasa berbakti kepada kedua ibu bapanya samaada semasa mereka masih hidup atau pun ketika mereka sudah meninggal dunia.  Jika ibu bapanya masih hidup dia akan menghormati, menyayangi dan mematuhi perintah kedua ibu bapanya tanpa derhaka dan menyakiti hati mereka. Tidak terkeluar perkataan 'ah' atau memarahi ibu bapanya. Jika mereka sudah meninggal dunia sentiasa dia mendoakan kesejahteraan dan mohon keampunan daripada Allah SWT  supaya mereka terselamat daripada azab kubur dan di ampunkan dosa-dosa mereka.


      'Anak soleh yang ditinggalkan' ini menunjukkan bahawa doa itu bukanlah satu-satunya kebajikan yang boleh disampaikan oleh sianak kepada orang tuanya, malah kelahiran anak yang soleh dalam sebuah masyarakat itu sendiri merupakan satu sumber kabajikan yang besar kepada orang ramai yang akan sampai pahalanya kepada orang tuanya kerana dialah yang menjadi pemimpin Islam yang amanah, penyumbang hidayah dengan berdakwah kepada masyarakat, pembela agama, penyuruh kebaikan dan pencegah kajahatan dan kerana setiap anak yang soleh itu tidak akan lupa mendoakan orang tuanya yang meninggal kelak.


      Dalam hadis yang lain terdapat kenyataan bahawa setiap amalan kebajikan yang dilakukan sianak dengan niat disampaikan pahalanya kepada orang tuanya akan disampaikan Allah SWT. Sekiranya kita mengharapkan doa anak-anak kita satu waktu nanti , sekarang apakah tugas kita sebagai anak kepada kedua ibubapa kita ?.


      Sekarang adakah kita sudah menjadi anak yang soleh seperti yang dikehendaki?. Berapa banyak sedekah kita?,berapakah banyak kah ilmu yang kita ajarkan kepada orang lain? dan selalukah kita doakan untuk kedua orang tua kita?


      Firman Allah SWT maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya."(Surah al-Tur ayat 21)


      Ayat di atas secara jelas menjelaskan kelebihan dua hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak dan cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak dan cucu mereka sebagai salah satu bentuk nikmat dan hiburan kepada mereka.


      Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak dan cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).


      Walaubagaimanapun nikmat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak dan cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.


      3. Mashaf al-Quran yang di wariskan.


      Makshaf  al-Quran yang ditinggalkan untuk kegunaan anak-anaknya dan cucu-cicitnya setelah dia meninggal dunia. Termasuk juga naskah al-Quran yang telah diwakafkan di masjid-masjid atau sekolah-sekolah agama. Termasuk juga meninggalkan  kitab-kitab tafsir al-Quran, kitab-kitab hadis Nabi SAW, buku-buku agama yang merangkumi bidang akidah, fiqah, tasauf dan cabang-cabang ilmu Islam. Selagi kitab-kitab dan buku-buku agama tersebut dibaca dan di ambil manfaat oleh anak-anak dan cucu-cicitnya, para pelajar dan orang ramai maka dia akan mendapat pahala yang berterusan di alam barzakh.


      Firman Allah SWT maksudnya : “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”(Surah al-’Alaq (96) ayat  1-5)


      Al-Quran Surah al-’Alaq ayat 1-5 diatas menyatakan bahwa perintah Allah untuk membaca itu diulang,  dua kali: “Bacalah, Bacalah” maksudnya membaca dan membaca, maka dapat kita dapati bahawa membaca dan membaca  itu ialah belajar yang sungguh-sungguh dan lebih mendalam lagi ialah berusaha keras untuk memajukan ilmu pengetahuan agama.


      Untuk membaca dan belajar perlu kepada al-Quran, kitab-kitab dan buku-buku agama maka manfaatnya sungguh banyak untuk kegunaan umat Islam.


      Diriwayatkan hadis daripada Othman bin Affan r.a. berkata: "Telah bersabda Rasulallah SAW : ‘Sebaik-baik atau yang paling afdhal (atau yang paling utama) (adalah) bagi barangsiapa yang belajar dan mengajarkan al-Quran."(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Termidzi)


      4. Masjid yang dia bangunkan.


      Di antara sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengenai keutamaan dan kelebihan membina masjid ialah:


      مَنْ بَنَى لله مَسْجِدًا بَنَى اللهُ لُه فى الجنة مثلَهُ
      (رواه مسلم)


      Maksudnya: “Sesiapa yang membina masjid kerana Allah nescaya Allah akan membina baginya di dalam syurga (binaan) seumpamanya.”
      (Hadis riwayat Muslim)


      Masjid yang dibina itu tidaklah mengira sama ada besar atau kecil semuanya akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:


      من بنى لله مسجدا صغِيرًا كَانَ أم كبيرًا بَنَى الله لَهُ بيتًا فِى الجَنّةِ


      (رواه الترمذى)


      Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Sesiapa yang membina masjid sama ada kecil atau besar nescaya Allah ‘Azza wa Jalla akan membangunkan baginya sebuah rumah di dalam syurga.”
      (Hadis riwayat At-Tirmidzi)


      Selagi umat Islam menggunakan masjid tersebut pahalanya akan mengalir terus kepada mukmin tersebut yang telah memberi sumbangan samaada dia masih hidup atau pun telah meninggal dunia.


      5. Rumah tempat singgah musafir yang dia dirikan.


      Wakaf adalah suatu perkara yang mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah. Seseorang muslim digalakkan untuk melaksanakan wakaf buat manfaat orang lain, dengan memenuhi keperluan mereka yang memerlukan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah. Wakaf juga merupakan salah satu amal soleh yang utama yang akan berguna kepada para pewakaf setelah mereka meninggal dunia.


      Membina rumah tempat singgah musafir sebagai wakaf untuk kegunaan umat Islam adalah satu jalan yang boleh mendatangkan pahala yang berterusan. Dalam realiti kita sekarang ini hampir tidak ada lagi rumah musafir yang diberi penginapan percuma kepada umat Islam yang bermusafir kerana dimana-mana sahaja kita akan berjumpa hotel, rumah tumpangan atau resort yang dikenakan bayaran menyewa bilik.


      Oleh itu jika ada dikalangan umat Islam yang berkemampuan untuk mewakafkan rumah penginapan musafir secara percuma (hanya dikenakan dengan bayaran yang minima untuk bayaran api, air, pengurusan dan penyelenggaran) maka usaha-usaha murni ini akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah SWT.


      Takrifan asal wakaf ialah sesuatu itu ‘dibekukan’ manakala hasilnya diinfakkan di jalan Allah. Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. telah berkata:


      “Umar bin al-Khattab r.a. telah diberikan bahagian dalam bentuk sebidang tanah di Khaibar. Beliau pergi berjumpa Rasulullah SAW. dan bertanya kepada baginda tentang apa yang sepatutnya dilakukan dengan tanah tersebut. Kata Umar: ‘Wahai Rasulullah! Aku telah diberikaan sebidang tanah di Khaibar sedangkan aku belum pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang engkau perintah aku lakukan?’ Baginda bersabda: ‘Sekiranya kamu mahu, kamu boleh bekukannya dan memberi dalam bentuk sedekah.’ Lalu Umar r.a. telah menjadikannya sebagai sedekah dan menetapkan bahawa ia tidak boleh dijual atau diwarisi. Beliau juga memberikan sedekah kepada fakir miskin, kaum kerabat dan hamba kerana Allah. Begitu juga kepada para musafir dan tetamu. Katanya lagi: ‘Tidak dikira berdosa seseorang yang diamanahkan menjaganya kemudian memakan hasilnya secara berpatutan atau memberi makan kepada orang lain tanpa menyimpan apa-apa untuk masa akan datang.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


      6. Sungai (saliran) yang dia alirkan.


      Membina saluran air yang di ambil daripada sungai yang mengalir untuk kegunaan orang ramai samaada untuk minum atau pertanian adalah satu usaha yang mulia di sisi Allah SWT. Selagai manusia dan binatang boleh mendapat manfaat daripada air sungai ini maka usaha-usaha yang murni iniakan mendapat pahala yang besar di sisi Allah SWT.


      Firman Allah SWT maksudnya : “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Surah al-Maidah ayat 2)


      Termasuk juga sumbangan kita untuk  membina telaga-telaga baru  untuk kegunaan manusia di kampung-kampung yang tidak ada lagi bekalan air paip atau sekolah-sekolah agama atau tahfiz  yang tidak cukup bekalan air untuk kegunaan para pelajarnya.


      Termasuk juga member sumbangan atau membiayai sepenuhnya untuk memasang paip-paip air dan tangki air untuk kegunaan masjid baru atau sekolah agama baru .


      7. Sedekah yang dia keluarkan di kala sihat dan masih hidup.


      Pada hakikatnya sedekah bertujuan memastikan wujudnya keadaan hidup bantu-membantu dalam masyarakat. Selain mendekatkan diri kepada Allah, sedekah juga membuka peluang yang luas kepada orang mukmin untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan dengan mewakafkan harta mereka di jalan Allah. Sesungguhnya Islam menggalakkan memberi sedekah dan sedekah jariah berupa harta wakaf bagi membesarkan pengertian ihsan dan at-takaful (saling membantu sesama orang Islam) bagi merealisasikan tujuan syariat yang menyarankan agar melakukan kebaikan dan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan takwa.


      Sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesiapa yang memberi makan kepada seorang mukmin sehingga dapat mengenyangkannya daripada lapar, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam sebuah pintu daripada pintu-pintu syurga, dan tiadalah yang dapat memasukinya melainkan orang sepertinya.” (Hadis Riwayat Tabarani)


      Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).


      Sahabat yang dikasihi,
      Marilah sama-sama kita amalkan tujuh (7) perkara amal soleh yang dinyatakan oleh hadis diatas yang akan menjadi bekalan dan pahalanya menyusul  kepada kita walaupun kita telah meninggal dunia dan berada di alam barzakh.


      Orang mukmin yang cerdik akan berusaha menyiapkan pelaburan jangka panjang untuk kebaikannya kerana ketika itu semua amalannya akan terputus melainkan tujuh perkara yang di usahakan semasa hidup di dunia. Harta yang tersimpan dirumah dan di bank belum tentu menjadi milik kita sebelum ianya digunakan dijalan Allah SWT  dan sedekah jariah yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.

      Objektif Pembelajaran

      Objektif Umum  :  Pelajar akan dapat mengetahui perkara yang berkaitan dengan amal soleh.
      Objektif khusus  :  Pada akhir proses pengajaran dan pembelajaran, pelajar akan dapat
      a)      Mempraktikkan aktiviti amal soleh dalam kehidupan seharian.


      Isi Kandungan


      Amal Soleh


      Amal soleh merupakan apa sahaja amal orang islam yang meliputi gerak hati (termasuk akal) pengucapan lisan dan perlakuan anggota tubuh badan (termasuk pancaindera) mengikut syariat islam. Amal itu dengan:

      • Niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T.
      • Mengikut rukun, syarat dan cara yang betul.
      • Tidak dicampuri oleh perkara maksiat dan perkara-perkara yang membatalkannya atau merosakkannya



      Lazimnya proses pembelajaran sesuatu ilmu secara teori dilengkapkan dengan latihan amali. Sebagai contoh, dalam matapelajaran sains rumahtangga, para pelajar akan dibimbing memilih menu yang sesuai untuk menepati ciri-ciri makanan seimbang, kemudiannya mereka akan diminta pula untuk memasaknya. Proses pembelajaran berkaitan berlangsung begitu bertujuan memastikan ilmu yang yang dipelajari mampu berfungsi dan dipraktikkan.

      Begitu juga dalam kehidupan insan, iman dan taqwa yang tertanam di jiwa memerlukan kerja yang beroperasi membuktikan fungsi yang sepatutnya wujud. Pada dasarnya, amal soleh adalah buah iman dan taqwa. Amal soleh haruslah sentiasa berlaku bagi meningkatkan bekalan taqwa juga menepis desakan nafsu. Kekurangan amal soleh akan menyebabkan keimanan  kita terjejas. Dengan perkataan lain, amal soleh juga merupakan manifestasi syahadah dan kesinambungan ubudiyah. Jelasnya amal soleh merupakan bidang pelaksanaan ilmu. Iman dan taqwa merupakan teori ilmu, manakala amal soleh sebagai latihan praktikal. Amal soleh juga berfungsi mengawal kesempurnaan iman dan taqwa, sekali gus akan Allah memberi ganjaran dengan kebahagiaan hakiki. Sepertimana maksud firman Allah;

      “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang mengerjakan amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka, sesudah mereka berada di dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku”. (QS An-Nuur:55)

      Amal soleh mengeluarkan kita dari teori dan alam khayalan kepada praktik dalam kenyataan kehidupan. Di sini bermulanya peningkatan jiwa dan pembinaan peribadi yang menjurus kepada jihad dan mujahadah. Kita sedia maklum bahawa di dalam diri manusia diciptakan Allah dua potensi, taqwa dan fujur. Kedua-dua potensi tersebut saling berlawanan, mendorong kepada kebaikan dan mendorong kepada kejahatan. Apabila amal soleh dilaksanakan, dorongan kebaikan (taqwa) akan mengatasi dorongan kejahatan (fujur). Keadaan ini akan meningkatkan dan menambahkan lagi bekalan taqwa dalam kehidupan.

      Amal soleh itu luas bidangnya meliputi semua pebuatan baik dalam ruang lingkup ibadah. Ianya mestilah menepati syarat;
      •       tidak bertentangan dengan syarak
      •     tujuan melakukannya untuk beroleh keredhaan Allah serta membuktikan ketaatan kepadaNya.


      Amal soleh dengan sifat utamanya menambah baik akhlak dan mengekang hawa nafsu membawakan bekalan-bekalan yang sangat diperlukan oleh diri setiap mukmin. Antaranya;

      • Membersihkan jiwa dari dosa dan mensucikan diri dari kemungkaran.
      • Menghiasi pribadi dengan sifat-sifat mulia yang terpuji Melakukan amal soleh meletakkan kita pada kedudukan yang tinggi sekali gus menyelamatkan diri dari kehinaan.
      • Sentiasa meletakkan diri dalam situasi berjaga-jaga dan mengikhlaskan setiap tindakan kerana Allah semata-mata.
      • Mengawal diri untuk sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhkan diri dari berbuat kejahatan dan keingkaran.
      • Mendorong diri mukmin menjadi ummat pertengahan – ummatan wasata, menjadi contoh ikutan dan rahmat kepada alam.
      • Meletakkan diri mukmin dalam usaha bersungguh-sungguh menentang pihak yang berniat memusnahkan syaiar Islam dan umatnya.
      • Amal soleh membersihkan sifat jahiliyah yang cuba membelenggu jiwa umat Islam dengan perlaksanaan sepenuhnya cara hidup Islam.
      Islam mengkehendaki umatnya memiliki kekuatan seimbang, justeru itu amal soleh amat dituntut agar bergabung dengan kekuatan pada diri setiap muslim. Kekuatan rohani dan kekuatan jiwa mestilah dilengkapkan dengan kekuatan kemahuan dan kekuatan jasmani. Dengan itu juga umat Islam akan menjadi umat contoh yang memiliki kemahuan yang kuat tidak bercampur sebarang kelemahan. Kesetiaan yang tidak bercampur kepura-puraan dan penyelewengan serta pengorbanan yang banyak dan tidak terhalang oleh tamak dan bakhil. Secara menyeluruh iman dan amal soleh menghindarkan kita dari kesalahan dan kesilapan, juga melindungi kita dari tipu daya dan perbuatan khianat.

      Seandainya kita telah mampu membentuk diri sebaik mungkin dengan amal soleh yang berterusan, akan wujud kekuatan yang mampu mengajak orang lain kepada kebaikan. Pada hakikatnya, setiap diri yang memiliki sesuatu, dia akan mampu memberi sesuatu kepada orang lain. Sedangkan diri yang kurang  dari sesuatu kebaikan, tidak mungkin mampu menyumbang kepada kebaikan. Oleh itu seharusnya kita susun dan atur masa kehidupan ini dipenuhi dengan yang Islam anjurkan. Sentiasalah menyedari yang lebih mulia ialah dia yang lebih baik amalnya. Bersegeralah mencari kesempatan untuk berlaku baik supaya nanti setiap sudut bumi Allah ini diliputi kebaikan.

      Mari sama-sama kita mulakan beberapa sudut praktiknya;
      Kita telah dijelaskan tentang kebaikan dan ganjaran infaq dan sedekah. Kita berhajat melakukannya, tetapi timbul keraguan. perasaan sayangkan harta dan hak milik menguasai hati dan perasaan. Kita cuba sedaya-upaya melawan perasaan tersebut, kita belanjakan dan nafkahkan harta seperti yang Islam anjurkan dengan memberikan kepada yang berhak juga untuk sumbangan di jalan Allah. Ini bererti kita telah mampu mengalahkan hawa-nafsu dan melatih diri menjadi pemurah. Ini satu kebaikan sebagai bekalan yang meningkatkan taqwa.

      Kita telah mendengar tentang besarnya ganjaran jihad di jalan Allah, tetapi kita ragu-ragu untuk memulakan langkah menyertainya…Kita cuba bersungguh-sungguh mengalahkan tarikan dunia yang cenderung kepada kemewahan dan hidup bersenang lenang dengan mengutamakan usaha-usaha menegakkan kebenaran deen Allah. Melawan hawa nafsu sedemikian merupakan kemenangan bagi jiwa yang diisi dengan taqwa. Ini merupakan satu bekalan besar untuk sepanjang hayat.

      Kita telah didedahkan tentang kisah-kisah para sahabat Rasulullah s.a.w di sudut saling berkasih sayang di kalangan mereka. Mengutamakan saudara seIslam melebihi diri mereka sendiri. Telah disebutkan juga kelebihan dan ganjaran dari apa yang mereka berikan. Kita juga ingin mencontohi mereka, namun sikap suka mementingkan diri sendiri menguasai hati kita. Sekiranya kita gagahi diri menundukkan ego, kita akan beroleh bekalan lumayan dari keteguhan ukhwah dan mahabbah.

      Kita maklumi tanggungjawab dakwah yang tunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya mesti pula kita contohi dan laksanakan. Hanya dengan menceburi dan melibatkan diri dalam peranan dan usaha amar maaruf nahi munkar, kita akan mampu merealisasikan sifat sabar dan tabah. Dengannya juga iman kita akan tertingkat dan merupakan bekalan yang sangat kita perlukan.

      Untuk memampukan diri kita berterusan di landasan kebenaran kita mestilah mampu mengawal diri dan menguasai nafsu. Di samping bersungguh-sungguh sentiasa melakukan amal soleh. Inilah bekalan yang mengangkat darjat mukmin kepada kemuliaan yang Allah anugerahkan.

      “Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu, dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu (yang akan kulaksanakan) dengan segala kemampuanku; dan aku berlindung padaMu dari kejahatan apa-apa yang aku lakukan, aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku, dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau”.

      Sumber Rujukan :  Abu musaddad, 2008, Amal Soleh, [online] Available at : http://www.haluan.org.my/v3/index.php/amal-soleh-praktikal-iman.html
      http://ms.wikipedia.org/wiki/Amal_soleh




      Tuesday, 6 December 2011

      Tujuan

      Tujuan utama blog ini dihasilkan supaya anak-anak dapat mengetahui amal-amal soleh dalam kehidupan harian dengan ikhlas kerana Allah Taala.Dapat mengetahui contoh-contoh perbuatan amal soleh dalam kehidupan.


      Saturday, 3 December 2011

      Selamat Datang

      Salam Perkenalan..Selamat datang ke Blog Amal Soleh. Semoga anda mendapat faedah daripadanya. sekian.

      PENGHARGAAN

      Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakan rahmatNya sehingga dapat saya membuat blog ini dengan jayanya.

      Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah di atas segala bimbingan, teguran dan nasihat yang diberikan sepanjang saya menyempurnakan tugasan ini.

      Ribuan terima kasih jua buat rakan-rakan dan juga kepada orang perseorangan yang turut membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan blog ini. Sekali lagi saya memanjatkan doa kesyukuran ke hadrat Ilahi, agar segala usaha yang disumbangkan diberkati oleh Allah s.w.t di dunia dan akhirat. Sekian,terima kasih.